Total Pageviews nurul

Friday 13 May 2011

seni reka dalaman

Reka bentuk dalaman: Perancangan perkara utama rekaan dalaman


Setiap ruang perlu direka, dirangka teliti supaya penuhi keperluan penghuni

SEBAHAGIAN besar kegiatan manusia dilakukan di ruang dalaman. Sebanyak 85 peratus masa itu digunakan untuk melaksanakan beberapa keputusan, pengajian, idea, inspirasi, penyelidikan, laporan, majlis keraian, produksi dan banyak lagi.


Berikutan itu, setiap ruang perlu direka supaya mempunyai fungsi tertentu. Fungsi itulah yang menentukan keperluan dan kehendak pengguna. Kebiasaannya setiap ruang diketuai fungsi kegunaan dan setiap pemilik mempunyai keperluan dan kehendak tersendiri.

Keperluan dan kehendak, pada dasarnya menggariskan kepada aspek budaya, kepercayaan, trend dan identiti. Aspek ini menghasilkan sesuatu reka bentuk ruang itu berfungsi dan bertindak dengan berkesan. Sebagai seorang juru reka dalaman adalah tugas utama menghasil sesuatu reka bentuk asli hasil kajian yang dilakukan ke atas keperluan serta fungsi ruang.

Perancangan adalah perkara pokok dalam reka bentuk dalaman, selepas dikenal pasti keperluan, ruang dirancang perlu mengambil kira hubungan ruang dengan ruang lain. Jika perancangan ruang tidak sempurna, akan berlaku ketidaksesuaian ruang terutama hubungan ruang dengan ruang yang lain.

Dalam situasi sekarang sesuatu ruang kediaman terutama rumah teres, ada limitasi tertentu dalam perancangan kerana pelan lantai disediakan adalah standard. Berikutan itu, kebanyakan pembeli rumah teres akan melakukan pengubahsuaian bagi memenuhi keperluan ruang diperlukan. Dalam merancang ruang, beberapa faktor perlu dipertimbang dan dikenal pasti:

Fungsi dan zon

Fungsi bermaksud kegunaan ruang kepada penghuni. Zon pula kawasan peruntukan dalam ruang. Contohnya, dalam rumah kediaman biasanya ada tiga zon berbeza. Zon itu di pisahkan dan di kategori sebagai zon sosial untuk kegiatan sosial keluarga dan rakan seperti ruang tamu atau ruang makan.

Zon kerja pula berfungsi sebagai ruang untuk penghuni melakukan kerja atau tugas seperti dapur untuk memasak, bilik bacaan untuk belajar dan membaca atau ruang basah untuk kerja membasuh baju dan sebagainya. Bagi zon persendirian pula adalah zon yang dikenal pasti sebagai ruang yang memerlukan ia dipisahkan dari pandangan dan gangguan penghuni lain. Ruang yang dikenal pasti adalah bilik tidur dan bilik air.

Hubungan fungsi ruang

Hubungan fungsi ruang dengan ruang lain perlu dikenal pasti supaya ada kaitan dan berdekatan antara satu sama lain. Sebagai contoh ruang dapur perlu berdekatan dengan ruang makan bagi memudahkan menghantar makanan dan sebaliknya.

Saiz dan bentuk

Dalam menentukan saiz ruang, kita perlu mengetahui keluasan ruang dengan merujuk kepada pelan lantai bangunan, pelan keratan atau pelan pandangan sisi. Jika kita tidak memiliki semua pelan di atas, kita perlu membuat ukuran sendiri.

Selain daripada itu kajian atau rujukan kedudukan seni bina bangunan itu amat perlu bagi mengetahui kedudukan fizikal bangunan iaitu kedudukan pintu dan tingkap, servis mekanikal dan elektrikal. Rujukan amat perlu supaya segala perubahan ruang yang akan dilakukan dapat digunakan untuk keperluan pengguna ruang secara berkesan.

Orientasi tapak cuaca dan alam sekitar

Kajian terhadap orientasi tapak amat perlu bagi mengetahui laluan angin untuk tujuan peredaran udara. Kedudukan arah matahari dan juga landskap sekeliling turut memainkan peranan. Ini semua sebagai reaksi pengguna ruang terhadap alam sekitar yang dapat membantu kita mengurangkan penggantungan kepada keperluan mekanikal dan elektrikal.

Cahaya dan peredaran udara semula jadi amat diperlukan kepada ruang kerana ia memberi kesan positif kepada kesihatan pengguna ruang.

Laluan trafik
Sesuatu ruang yang aktif memerlukan laluan trafik yang sempurna untuk tujuan mobiliti. Laluan trafik ini digunakan penghuni ruang untuk bergerak dari satu ruang ke satu ruang yang lain tanpa terhalang atau tersekat.

Setiap laluan mestilah dirancang dengan saiz yang bersesuaian bagi mengelak berlakunya halangan yang melambatkan pergerakan di samping itu susun atur pelan lantai yang baik akan mengelak pengguna menjadi keliru.

Memaksimumkan ruang

Penghuni yang bijak mempunyai strategi untuk memaksimumkan ruang dengan menggunakan warna cerah pada dinding, menggunakan perabot sesuai yang menjimatkan ruang.

Dengan cara ini penghuni akan berasa sesuatu ruang lebih besar dan tidak rasa terganggu dengan kedudukan perabot dan saiz perabot yang tidak sesuai dengan saiz ruang.

Kesan emosi dan psikologi
Ruang yang direka mestilah memberi kesan emosi kepada penghuni. Perancangan yang baik akan melahirkan ruang kelihatan cantik dan dapat memuaskan hati pengguna.

Kesan emosi dan psikologi dapat diperjelaskan dengan penggunaan bentuk, saiz, skala yang sesuai dalam ruang, penggunaan bahan yang sesuai dan penggunaan warna dan tekstur yang menarik. Selain itu perancangan pemilihan dan susun atur perabot sesuai dan praktikal akan memberi kesan tambahan kepada kejayaan kepada perancangan ruang.

Keperluan khas untuk orang kurang upaya (OKU) dan warga emas

Faktor ini selalu diabaikan walaupun pada rumah kediaman, keperluan mereka ini perlu diambil kira dalam perancangan ruang kerana mereka ini mempunyai hak untuk mengguna ruang yang disediakan. Keperluan ini seharusnya menjadi kehendak wajib bila ruang kediaman berskala besar mempunyai lebih dari aras bangunan.

Ekonomi dan kewangan

Faktor terakhir ini membabitkan soal ekonomi dan kewangan. Ia berkait dengan kemampuan seseorang. Keberkesanan perancangan yang berjaya biasanya tidak membabitkan kesan kepada soal kewangan. Ini kerana perancangan ruang yang praktikal dan berfungsi hasil daripada perancangan fizikal dan struktur yang efisien.

Soal kewangan akan menjadi perkara utama apabila membabitkan soal pemilihan bahan kemasan, aksesori bangunan, perabot, keperluan mekanikal dan elektrikal. Oleh itu, dalam merancang ruang kita harus berhati-hati kerana kiraan keluasan persegi ruang mestilah bersesuaian dengan kos bangunan.

Semua faktor yang diperjelaskan dapat membantu memberi panduan supaya ruang yang dirancang dapat berfungsi dengan sempurna. Jika dirancang dengan bijak setiap ruang akan berfungsi dengan sepenuhnya dan penghuni akan berasa keselesaan optimum dalam melaksanakan segala aktiviti dalaman mereka.

No comments:

Post a Comment